Apa itu penyakit mental

Penyakit mental adalah penyakit yang melibatkan gangguan pada fungsi otak yang boleh menyebabkan perubahan kepada proses pemikiran, perasaan dan tingkah laku seseorang yang mengakibatkan gangguan untuk menjalani aktiviti seharian dengan baik. Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan penyakit mental adalah antara 5 penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia dan dijangkakan pada tahun 2020 penyakit ini akan menjadi penyebab kedua tertinggi.

Maklumat Am

Kesihatan Mental vs kesihatan fizikal

Kesejahteraan mental boleh memberikan kesan terhadap kesihatan fizikal. Penyakit mental yang serius boleh memberikan impak terhadap kehidupan. Individu yang menderita atau mengalami masalah mental biasanya kurang mengambil berat dari perspektif fizikal mereka. Berdasarkan kajian, kesan penyakit mental dalam kehidupan adalah lebih besar daripada risiko-risiko lain seperti merokok, obesiti dan kencing manis.

KECELARUAN MENTAL

Ciri individu mengalami kecelaruan mental;

1. Bertentangan dengan Kebiasaan: Individu memberitahu melihat dan mendengar perkara yang tidak wujud iaitu halusinasi dan delusi.

2. Tingkah laku bertentangan dengan nilai masyarakat: setiap masyarakat/budaya memiliki tatacara dan adab yang biasa diikuti

3. Persepsi dan Interpretasi realiti: individu yang berhadapan dengan tekanan dan kesedihan. Selain itu, mereka cenderung untuk menafikan dan tidak dapat menerima kenyataan.

4. Salah Adaptasi: tingkah laku yang membataskan kefungsian, peranan dan tingkahlaku yang menyebabkan kesedihan dan ketakutan serta takut berada di tempat yang ramai orang seperti pasaraya dan majlis keramaian.

5. Kesusahan Peribadi: masalah emosi seperti mengalami kebimbangan, takut dan kemurungan. Emosi berpanjangan hingga mengganggu individu untuk berfungsi secara normal.

6. Tingkah laku berbahaya: individu yang ingin membunuh diri dan melakukan perkara mengancam nyawa orang lain akibat tekanan emosi.

Jenis Penyakit Mental

Secara umumnya penyakit mental boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu :

1. Neurosis
- Kemurungan
- Kebimbangan

2. Psikosis
- Skizofrenia
- Kecelaruan Bipolar

3.Kecelaruan Personaliti

Penyebab Berlakunya Penyakit Mental

Sebenarnya setakat ini tiada seorang pun pengkaji dapat mengesahkan punca utama yang menyebabkan gejala ini namun ada beberapa faktor yang berkemungkinan boleh tercetusnya penyakit mental. Antaranya ialah:

1. Faktor genetik/keturunan
2. Gangguan bahan kimia dalam otak
3. Jangkitan virus
4. Sejarah hidup yang getir
5. Keadaan sosio-ekonomi yang rendah

Selanjutnya

Adakah Penyakit Mental Boleh Diubati?

Ya, penyakit mental boleh diubati. Ini kerana kemajuan dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubatan yang lebih berkesan di dalam merawat penyakit mental. Hampir semua ubat yang digunakan untuk merawat penyakit mental mengambil masa sebelum kesan positifnya boleh dilihat. Kesabaran meneruskan pengambilan ubat secara konsisten amat digalakkan. Selain ubat psikotropik pendekatan sokongan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, pendidikan psikologi, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psiko-sosial telah terbukti sama pentingnya.

Adakah Ujian Yang Boleh Mengukur Tahap Kesihatan Anda

Ya. Individu yang ingin mengetahui status masalah kesihatan mental mereka boleh mengambil program saringan kesihatan mental secara atas talian kerana ianya mudah, cepat dan ringkas. Walaubagaimanapun ia tidak dapat menggantikan pemeriksaan dan penilaian yang lazim dijalankan oleh anggota kesihatan mental yang terlatih.