KONSEP AUDIT NILAI

1. Audit nilai ialah suatu proses di mana lima (5) indeks digunakan untuk mengukur tahap amalan nilai teras dalam perkhidmatan awam. Maklumat yang diperoleh boleh membantu setiap agensi kerajaan mengenal pasti kelemahan dan seterusnya membangunkan program-program yang bersesuaian untuk meningkatkan penghayatan dan amalan nilai teras.

 

2. Audit nilai dilaksanakan oleh pegawai sesebuah agensi di mana Juruaudit atau Pasukan Audit Nilai yang dilantik hendaklah diberi latihan yang berkaitan. Pegawai berkenaan mestilah terdiri daripada seorang yang 'neutral' semasa melaksanakan audit nilai di jabatan tempat ia bertugas. Ciri ini membantu beliau melakukan pemerhatian dan penilaian secara objektif, telus, membantu perkembangan dan peningkatan kualiti serta produktiviti agensi berkenaan.

 

3. Proses audit nilai perlu dilaksanakan untuk tempoh satu tahun iaitu dari bulan Januari sehingga Disember tahun yang dipilih ataupun mengikut satu pusingan lengkap dua belas (12) bulan di mana sesuai. Sebaik-baiknya audit nilai hendaklah dilaksanakan mulai bulan Mei selepas satu tahun program nilai dilaksanakan dan dilakukan secara berterusan pada tahun-tahun berikutnya. Ini bertujuan untuk memudahkan maklumat-maklumat berhubung laporan tahunan dikumpulkan.